Saturday, September 19, 2009

Takbir Raya Rumah Ke Rumah

Persatuan Belia Panglima Bersatu (MAYC) Tmn Panglima Pak dengan Lembaga Surau Tmn Panglima mengadakan takbir raya rumah ke rumah selepas sembayang isyak .Ramai golongan belia dan masyarakat setempat menyertai program tersebut.

Friday, September 18, 2009

PERUTUSAN PENGERUSI PERSATUAN BELIA PANGLIMA BERSATU TMN PANGLIMA PAK SEMPENA HARI RAYA AIDILl FITRI 1430

Assalamu'alaikum wa Rahmatullah,

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu." (Surah Al Baqarah : 185)


Pertamanya marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah melimpahkan rahmat dan keberkatan kepada kita semua sepanjang bulan Ramadhan ini sehingga kita dapat mengisinya dengan agenda-agenda yang membawa kepada ketaqwaan yang sejati. Hari ini, kita telah menyempurnakan latihan Ramadhan selama sebulan, dan kita akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri sebagai satu tanda kesyukuran kita terhadap nikmat-nikmat Allah SWT. Saya berharap, latihan ubudiyah selama sebulan ini telah dapat memenuhi KPI berpuasa iaitu ketaqwaan kepada Allah SWT

Saya, bagi pihak seluruh ahli Jawatankuasa Belia MAYC Tmn Panglima Pak mengucapkan Selamat Hari Raya dan maaf zahir dan batin kepada semua umat Islam sempena hari yang mulia ini. Saya berdoa supaya kita semua selamat daripada sebarang kecelakaan pada Hari Raya ini dan dapat pula kita bersama-sama merapatkan ukhuwah dan silaturrahim melalui ziarah, bermaafan-maafan, balik kampung dan sebagainya. Berhati-hatilah di jalan raya dan juga berwaspada dengan rumah yang ditinggalkan agar semuanya selamat dan sejahtera.

Apabila menyambut Hari Raya sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT, maka hendaklah kita menyambutnya dalam suasana yang terikat dengan syariat Allah SWT. Allah memerintahkan pada Hari Raya ini untuk ‘litukabbirallah’ (membesarkan Allah) di atas segala hidayah dan nikmatnya. Maka janganlah Hari Raya menjadi medan untuk kita kembali kufur kepada Allah SWT dengan melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam. Janganlah ada pada Hari Raya perbuatan sumbang seperti pembaziran, menyimpan dendam, hasad dengki dan sebagainya. Sebaliknya, kekalkanlah ketaatan kita sepanjang Ramadhan itu untuk terus mekar sepanjang Hari Raya dan juga hari-hari berikutnya.

Amalan mengadakan rumah terbuka begitu bermakna sekali dalam kita membina semua kekuatan umat Islam terutama untuk mengukuhkan persaudaraan kita. Ziarah menziarahi dapat memulihkan semula nostalgia yang mencetuskan kemesraan dan meninggalkan perselisihan yang tidak berkesudahan. Namun begitu, suka saya mengingatkan supaya amalan rumah terbuka ini tidak disulam dengan perkara-perkara yang tidak baik. Janganlah acara rumah terbuka ini membawa kepada pembaziran, dipenuhi dengan aktiviti hiburan melampau, ada umpat-mengumpat dan dilaksanakan dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk. Biarlah rumah terbuka ini berlangsung dalam suasana keagamaan, ajaklah bersama orang-orang miskin, ibu-ibu tunggal, orang-orang tua dan juga anak-anak yatim supaya mereka juga dapat bergembira bersama-sama.

Ketika kita sedang berseronok dengan Hari Raya ini, jangan kita lupa kepada anggota keselamatan yang terpaksa bertugas untuk menjamin keselamatan kita. Kepada pihak polis dan tentera saya merakamkan berbanyak-banyak terima kasih di atas pengorbanan mereka pada Hari Raya. Jasa dan sumbangan mereka janganlah dipinggirkan.

Akhirnya, saya berharap daripada tarbiyah Ramadhan selama sebulan ini dapat membangkitkan semula kesedaran dan kemahuan kita untuk mengangkat martabat Islam ke tempat yang setinggi-tingginya

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin

Ahmad Faizal Bin Ahmad Halimi
Pengerusi Belia Panglima Bersatu
Taman Panglima Pak

Saturday, September 12, 2009

AKAN UPDATE TIDAK LAMA LAGI

Salam semua,sudah lama website ini tidak update.Saya memastikan website ini update setiap masa.Terima kasih